Terdapat
sembilan adab-adab menuntut ilmu yang perlu dipatuhi semoga ilmu yang kita
pelajari menjadi ilmu yang bermanfaat dan diberkati oleh Allah SWT.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Niat
yang ikhlas.
Kewajipan ke
atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana
Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah
S.A.W pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam
neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa
memikirkan maslahat Islam dan ummatnya.
Memang agak
susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke
arahnya. Kita yang berada dalam sistem sekular yang mementingkan material
menyebabkan kita terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan
tempat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada
kejahilan yang mana dengan ini mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus
kesesatan dan seterusnya membawa perubahan kepada keislaman.
Jadikanlah diri
kita sebagaimana padi yang mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke bumi
kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin
mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas
dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah
diri.
Maksud firman
Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah : "Dan ketahuilah bahawa Allah
mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan
ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun".
Ingatlah bahawa
setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang
berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal
akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.
Kedua : Tekun
berusaha dan bertawakal.
Sentiasa
bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan
menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat
diatasi dengan sentiasa membaca dan mengulangkaji pelajaran tanpa jemu.
Nasihat ataupun
tazkirah akan melembutkan hati kita kepada Allah SWT. Perlu dihidupkan hati ini
supaya sentiasa takut kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah dalam ayat 5
surah as-Saff yang bermaksud : "Dan ingatlah ketika mana Nabi Musa berkata
kepada kaumnya :'Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu
mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?'. Maka tatkala mereka
buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak
memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik."
Ayat ini
walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal hingga
sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Kita
juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya
ilmu bukannya budaya yang dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan serta
hiburan yang boleh menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu dan
pengetahuan.
Kita hendaklah
mencontohi ulama-ulama silam yang mana mereka belajar dalam keadaan susah
tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana belajar bukannya
mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya perasaan bersungguh untuk
belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakal kepada Allah agar kejayaan
diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakal yang dilakukan mestilah mencukupi
syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah
natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.
Ketiga :
Menjauhi maksiat.
Kita mestilah
menghidupkan budaya amar makruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana
sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang
suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti
dengan najis-najis dosa.
Cubalah sedaya
yang mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala
jalan menuju ke arahnya. Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat
untuk bertapak di hati kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah
sahaja terhadap perkara maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita
kepada maksiat yang lebih besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang
maksiat yang kecil seperti maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet
ataupun tulisan) serta pergaulan antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin
hanya suatu perkara yang biasa dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka
hanya menganggap hanya dosa besar seperti berzina, mencuri, memukul orang dan
lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat berterusan
akan menjadi dosa besar.
Keempat :
Memilih teman yang soleh.
Pilihlah teman
yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat
menasihati antara satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada berbentuk
rasmi seperti diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak rasmi setiap
hari.
Luqman Al-Hakim
pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh
serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita
turut sama memperolehinya.
Disamping itu
apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan
serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan
mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam
belajar. Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh
sebaliknya kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan
jangan pula kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka.
Ingatlah firman
Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud : "Teman-teman yang
rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain
kecuali mereka yang bertakwa".
Rasulullah SAW
pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi
dan Abu Daud maksudnya : "Seseorang
itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati
siapakah yang dijadikan teman".
Kelima :
Banyakkan zikrullah.
Pastikan kita
sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa
selepas solat walaupun ringkas kerana ulama sufi begitu menitik beratkan
perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh
mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan amalan seharian. Tanpa
wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan zikrullah agak
berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang
telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita
melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke
arah mengabaikan solat.
Bacalah
Al-Quran sekurang-kurangnya dua muka surat setiap hari kerana ia merupakan ibu
segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja kita
seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati
dan diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.
Keenam :
Menjaga kehormatan.
Kita wajib
menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala keaiban diri
dan orang lain kerana ia membawa kepada keredaan Allah dan manusia lain kepada
diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredaan dan
rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan
seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup mereka
dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali
menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya
daripada panah malam.
Firman Allah
SWT dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : "Wahai orang-orang
yang beriman! Jauhilah kebanyakan perasaan-prasangka, sesungguhnya sebahagian
daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang
lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah
salah seorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?.
Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."
Ketujuh : Mendapat doa dan keredaan ibu bapa.
Kita hendaklah
sentiasa menjaga perasaan kedua ibu bapa kita dan menghormati mereka dalam
perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka
dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka
di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredai
kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredaan Allah bergantung
kepada keredhaan ibu bapa terhadap kita.
Firman Allah
SWT dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra’ yang bermaksud : "Dan Tuhanmu
telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu
berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang
daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan
kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan
“ah” dan janganlah kamu mengertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan
yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih
sayang dan ucaplah : 'Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana
mereka berdua telah mendidikku semasa kecil'."
Kelapan :
Menghormati guru.
Kita juga wajib
menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi
kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita
berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana Imam As-Syafi’e walaupun berijtihad
bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab’adh(kena sujud sahwi jika tidak
melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu
berhampiran maqam gurunya Imam Malik kerana menghormati gurunya.
Bagaimana
dengan kita? Sesungguhnya ulama silam begitu menitik beratkan masalah
keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini.
Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di
kalangan remaja.
Guru janganlah
dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja
tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai
pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita fikir dan
renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang
mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada keserasian
dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan
berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.
Oleh itu
marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan
pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari
perkara negatif dalam kehidupan.
Kesembilan :
Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi.
Kita
mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita.
Ulama silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak
beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada
penyembah berhala.
Jadikanlah ilmu
yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan
jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam
serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit
jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan
untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah
dihinakan oleh Allah kerana melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan
dunia.Inilah merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam
terus mundur.
Berapa ramaikah
mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh
keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.
Oleh itu kita
mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di
dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk
memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan
merealisasikannya dalam kehidupan.
Tanpa usaha yang
bersungguh- sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya. Samalah kita sama-sama
menghayati firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Saff yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu
tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan
apa yang tidak kamu kotakan."
Sahabat yang
dimuliakan,
Marilah
sama-sama kita amalkan sembilan adab-adab untuk menuntut ilmu seperti yang
dinyatakan diatas. Keberkatan dan keberkesanan sesuatu ilmu adalah sejauhmana
kita mematuhi adab dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam. Perlu
diingat keluar saja kita daripada rumah untuk menuntut ilmu yang bermanfaat
umpama kita berjihad dijalan Allah SWT. Sentiasa dinaungi oleh para malaikat
dan setiap langkah akan diberikan pahala dan mendapat doa semua makhluk dibumi
termasuk ikan-ikan diair.
No comments:
Post a Comment