Monday, 16 December 2013

walimatul urus






Definisi Walimatul urus.
          

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:

Al-Walimah ertinya adalah makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada pesta (majlis) pernikahan secara khusus. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 310, Pustaka Ibnu Katsir)

Walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan disebabkan berlangsungnya ikatan perkahwinan (pernikahan).

Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, di mana beliau berkata:

“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjadi seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, baginda mengundang orang-orang, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1428)

Juga perkataan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah:

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam menikahi seorang perempuan, baginda mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3219)

Hukum Mengadakan Walimatul Urus



Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan:

“Imam Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah”. Menurut jumhur, walimah itu disunnahkan (mandub).

Jumhur mengatakan hukumnya sunah berdasarkan pendapat Imam Asy-Syafi’i rahimahullah.” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)

Siapa Yang Mengadakan Walimah?

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh suami. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri dan turut dicontohi oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menikahi seorang perempuan, baginda mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Juga dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan:

Abdurrahaman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma)”.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda: “Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan walimah.

Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir. (Rujuk Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Sebagaimana amalan masyarakat kita yang menjadi keutamaan adalah majlis perkahwinan di adakan pihak pengantin perempuan. Tidaklah menjadi kesalahan jika keluarga pengantin perempuan berhasrat untuk mengadakan majlis tersebut meraikan tetamu dan ahli keluarga pihak pengantin lelaki, tetapi perlu difahami bahawa keutamaan walimatul urus adalah dilakukan oleh pihak pengantin lelaki bukannya pengantin perempuan.

Waktu Walimah

Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i menjelaskan bahawa waktunya adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama.

Ibnu as-Subki berkata: "Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin.

Perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 727, Darus Sunnah)

Amalan masyarakat kita selepas akad nikah belum boleh bersama sebagai suami-isteri selagi mana sebelum di adakah majlis walimahtul urus.

Jemputan Tetamu.


Walimatulurus yang diadakan hendaklah dijemput jiran tetangga yang terdekat tanpa mengira mereka itu kaya atau miskin, ada pertalian saudara atau tidak. Jemputan itu selaras dengan tujuan untuk merapatkan hubungan sesama jiran tetangga.

Penglibatan semua jiran dalam majlis walimatul urus diumpamakan seperti satu keluarga besar. Semua orang berhak bersyukur dan bergembira dengan terlaksananya perkahwinan tersebut.

Amalan menjemput hanya mereka dari kelompok yang setaraf yakni golongan kaya hanya menjemput golongan kaya, tidak mencapai matlamat mengapa majlis tersebut digalak diadakan. Majlis demikian akan menyuburkan lagi sikap mementingkan diri dan sombong di dalam masyarakat.

Sesungguhnya majlis walimatul urus yang diadakan golongan kaya yang tidak menjemput sama gologan orang miskin turut serta adalah majlis tidak diberkati.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis bermaksud: "Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis walimatul urus yang hanya dijemput orang kaya sahaja, orang fakir dan miskin tidak pula dijemput untuk makan bersama." (Hadis riwayat Bukhari).


Memberi sumbangan sampul surat berisi wang daripada tetamu kepada tuan rumah adalah budaya melayu , budaya ini tidak dilarang selagi pihak tuan rumah tidak mengharapkan balasan dan ikhlas menjemput tetamu datang kemajlis yang diadakan. Jika ada orang miskin datang kemajlis yang di adakan tetapi tidak mampu memberi sumbangan janganlah tuan rumah berasa kecil hati.

No comments:

Post a Comment