Semasa hayatnya, Mohamed Hamzah merahsiakan beliaulah pencipta
Jalur Gemilang, hingga ramai temannya sendiri tidak mengetahui perkara itu.
Hanya selepas kematiannya pada 1993, barulah adik beliau, Abu Bakar Hamzah
(gambar), sekarang 73, mendedahkan secara terbuka perihal abangnya itu.
Jalur Gemilang menurutnya, mula dicipta pada 1947 apabila
pemerintah masa itu mengadakan pertandingan mereka bendera Persekutuan Tanah
Melayu. Mohamed yang ketika itu berusia 29 tahun tidak mahu melepaskan peluang
keemasan tersebut untuk menonjolkan bakat melukisnya.
Bekas kakitangan Jabatan Kerja Raya Johor itu memang berbakat
dalam bidang seni lukis dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam menyiapkan
sesebuah lukisan. “Saya masih ingat Allahyarham yang tamat persekolahan di
English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar) mengambil masa dua minggu mereka
empat lakaran bendera untuk dihantar ke Kuala Lumpur.
“Dia tersenyum lebar ketika lakaran bendera diciptanya dipilih dan
dipaparkan dalam akhbar-akhbar tempatan,” katanya. JALUR Gemilang telah dibawa
ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) oleh angkasawan negara tahun lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993, 14 hari sebelum
genap usia 75 tahun di rumah keluarganya di Kampung Melayu Majidee, Johor
Bahru.
Allahyarham pernah meminta adiknya Abu Bakar untuk merahsiakan
dirinya pencipta Jalur Gemilang dan biarlah masyarakat mengetahuinya sendiri.
Namun setelah meninggal dunia, banyak pihak tidak bertanggungjawab mengaku
mencipta Jalur Gemilang membuatkannya tampil bercerita kisah sebenar meskipun
memungkiri janji kepada abangnya.
Kini, perkara itu telah terungkai tetapi Abu Bakar masih memendam
rasa kecewa berikutan Allahyarham masih belum menerima pengiktirafan
sewajarnya. “Jalur Gemilang sudah sampai ke angkasa lepas malah yang membawanya
turut mendapat pengiktirafan tinggi tetapi pencipta bendera bagai
dipinggirkan,” katanya.
Ditanya mengenai bangunan terakhir yang direka Allahyarham, Abu
Bakar berkata, dia tidak mengingatinya kerana terlalu banyak yang direka bentuk
oleh Allahyarham. Antaranya bangunan Dewan Jubli Intan, Menara Johor. Bagi
mengenang jasa abangnya, beliau dan saudara-mara mengadakan kenduri arwah
setiap Ogos serta melawat pusaranya di Kebun Teh, Johor Bahru.
Allahyarham mendirikan rumah tangga empat kali dan terakhir
bersama Robani Daud. Mereka dikurniakan seorang anak, Mariam serta empat anak
angkat; Khadijah, Azizah, Mohd. Ali dan Mohd. Seth. Bagi Abu Bakar, bendera itu
melambangkan kedaulatan negara. Sebab itulah beliau sedih apabila Jalur
Gemilang tidak dihormati.
Antara isu menyedihkan termasuklah ia dipasang terbalik, sudah
lusuh atau koyak. “Saya pernah memarahi individu yang sengaja mengibarkan
bendera separuh tiang,” katanya.
No comments:
Post a Comment