Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut
yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Seseorang yang berbudi pekerti tinggi mempunyai perilaku murni, di
mana dia melakukan sesuatu dari jiwa yang tulus, tanpa paksaan. Perbuatan-perbuatannya
pula elok menurut ukuran akal dan syarak.
Mengikut Imam Ghazali, terdapat empat asas utama akhlak yang mulia:
Pertama : Kebijaksanaan yang dapat membezakan yang benar dan salah.
Kedua : Keberanian menahan atau mengarahkan kemarahan dengan menggunakkan
akal.
Ketiga : Kebersihan jiwa bagi menahan keinginan syahwat dengan
mendidiknya untuk tunduk kepada akal dan syarak.
Keempat : Keadilan iaitu kekuatan jiwa yang boleh mengatasi sifat
marah dan keinginan syahwat lalu membimbingnya ke arah kebijaksanaan.
Keempat-empat sifat ini perlu ditegakkan untuk melengkapkan diri
dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Di dalam sepotong hadis, Rasulullah
S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Perbaikilah budi perkerti kamu sekalian."
Hadis ini secara langsung menyatakan, sifat dan budi pekerti seseorang
mampu diperindahkan. Yang diperlukan ialah usaha berlatih membersihkan diri dan
mendidik budi pekerti.
Huraian empat asas utama akhlak yang mulia adalah :
Pertama : Kebijaksanaan yang dapat membezakan yang benar dan salah.
Kebijaksanaan seseorang hanya akan dapat di perolehi dengan menuntut
ilmu. Hanya dengan ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu akan mampu membezakan
perkara yang hak dan benar dengan perkara yang salah dan batil.
Dari Mu’awiyah bin Abi Sufyan radhiallahu ‘anhu dia berkata: Aku
mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
Maksudnya : “Barangsiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan maka
Dia akan memahamkan baginya agama (Islam).”(Hadis Riwayat Bukhari)
Hadis yang mulia ini menunjukkan agungnya kedudukan ilmu agama dan
keutamaan yang besar bagi orang yang mempelajarinya.
Kedua : Keberanian menahan atau mengarahkan kemarahan dengan
menggunakkan akal.
Marah yang datang kepada manusia sebenarnya adalah daripada dorongan
hawa nafsu dan bisikan syaitan. Emosi manusia ketika itu sudah tidak seimbang,
maka keberanian seseorang dengan menggunakan akal yang waras akan dapat
mengawal perasaan marah yang meluap-luap.
Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita
tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang
tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa
nafsu.
Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi
s.a.w., "Berilah aku wasiat?."
Nabi S.A.W. bersabda: : "Janganlah engkau marah"
Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang
Nabi s.a.w. bersabda : " Janganlah engkau marah"
(Hadis Riwayat Bukhari).
Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud, “Tidaklah seseorang dikatakan
pemberani dan kuat kerana cepat meluapkan marahnya, tetapi seseorang dikatakan
pemberani dan kuat kalau mampu menguasai diri dan nafsunya ketika marah"
Ketiga : Kebersihan jiwa bagi menahan keinginan syahwat dengan
mendidiknya untuk tunduk kepada akal dan syarak.
Jiwa yang telah dididik dengan iman dan ayat-ayat Allah akan bersih
daripada keinginan syahwat dengan mendidiknya untuk tunduk kepada akal dan
syarak.
Untuk mendidik jiwa perlu kepada mujahadah dan muhasabah. Salah satu
cara untuk mendidik jiwa adalah dengan membaca ayat-ayat al-Quran dan tadabbur
maknanya, menghadiri majlis ilmu dan mencari tempat sunyi untuk mendekatkan
diri kepada Allah S.W.T.
Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang
sahabat utama Rasulullah S.A.W. Ia mengeluh, “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah
aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Hari-hariku penuh dengan
perasaan tak tenteram, jiwaku gelisah, dan fikiranku kusut. Makan tak lalu,
tidur pun tak lena," kata orang tersebut.
Ibnu Mas’ud menjawab, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah
hatimu mengunjungi tiga tempat :
(1) tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau
dengar baik-baik orang yang membacanya.
(2) engkau pergi ke majlis ilmu
yang mengingatkan hatimu kepada Allah.
(3) engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat
mengabdikan diri kepada Allah.
Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang tersebut. Sampai
saja di rumah, segera ia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya
dengan khusyuk. Selesai membaca, ia segera dapati hatinya memperoleh
ketenteraman, dan jiwanya pun tenang. Fikirannya segar kembali, hidupnya terasa
seronok kembali. Padahal, ia baru melaksanakan satu dari tiga nasihat yang
disampaikan sahabat Rasulullah S.A.W. tersebut.
Keempat : Keadilan iaitu kekuatan jiwa yang boleh mengatasi sifat
marah dan keinginan syahwat lalu membimbingnya ke arah kebijaksanaan
Perlu ada sifat keadilan dalam diri seseorang. Adil maksudnya
meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apabila jiwa seseorang kuat dan mampu
mengawal perasaan marah dan nafsu syahwat dan mendidiknya kepada hukum-hukum
Allah ini bermakna jiwanya telah wujud sifat adil.
Perlu bersikap adil pada diri sendiri, maka keadilan itu akan dapat
diberikan kepada orang lain. Biasanya orang yang zalim (tidak adil) tidak akan
dapat mengawal nafsu marah dan nafsu syahwat menyebabkan jiwanya rosak dan jauh
daripada hidayah Allah S.W.T. dan melakukan sewenag-wenagnya tanpa berfikiran
yang waras.
Sahabat yang dimuliakan,
Akhlak yang mulia memegang peranan penting dalam kehidupan manusia.
Akhlak yang baik akan membedakan antara manusia dengan hewan. Manusia yang
berakhlak mulia, dapat menjaga kemuliaan dan kesucian jiwanya, dapat
mengalahkan tekanan hawa nafsu syahwat syaitaniah, berpegang teguh kepada
sendi-sendi keutamaan. Menghindarkan diri dari sifat-sifat kecurangan,
kerakusan dan kezaliman. Manusia yang berakhlak mulia, suka tolong menolong
sesama insan dan makhluk lainnya. Mereka senang berkorban untuk kepentingan bersama.Yang
kecil hormat kepada yang tua,yang tua kasih kepada yang kecil. Manusia yang
memiliki budi pekerti yang mulia, senang kepada kebenaran dan keadilan,
toleransi, mematuhi janji, lapang dada dan tenang dalam menghadapi segala
halangan dan rintangan.
Akhlak yang mulia akan mengangkat manusia ke darjat yang tinggi dan
dihormati. Akhlak yang buruk akan membinasakan seseorang insan dan juga akan
membinasakan ummat manusia. Manusia yang mempunyai akhlak yang buruk senang
melakukan sesuatu yang merugikan orang lain. Senang melakukan kekacauan, senang
melakukan perbuatan yang tercela, yang akan membinasakan diri dan masyarakat
seluruhnya.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Orang Mukmin yang paling sempurna imannya, ialah yang paling
baik akhlaknya."
(Hadis Riwayat Ahmad)
Oleh itu marilah kita bina empat asas utama untuk melahirkan akhlak
yang mulia seperti di atas.
No comments:
Post a Comment